Thursday, February 14, 2013

Cerpen: Antara dua cinta (i).

Klik. Talian diputuskan. Gadis itu menghela nafas panjang. Dadanya terasa sempit. Dunianya terasa sesak. Dia terhimpit di antara dua cinta - cinta yang sudah sekian lama mengasuh dan membelainya dan cinta yang baru ditemukan di Tanah Ratu ini.

Hawa melabuhkan duduk di bangku kosong itu. Pandangannya dihala ke arah padang. Belum aman. Lantas, wajahnya diangkat mendongak langit. Biru. Permai. Ada tenang yang singgah mengurangkan gusar hatinya. "Perlukah aku memilih, Ya Allah? Sedangkan keduanya amat bermakna terhadapku." Patah-patah kata itu meluncur dari bibirnya, separa berbisik. Telinganya menangkap monolog itu. Hawa tersentap dengan ucapannya sendiri. "Allah, Allah. Ini ujian buatmu Hawa. Jangan mengeluh." Pantas imannya mengingatkan. "Hasbunallah wa ni'mal wakeel wa ni'mal maula wa ni'man nasir." 

Usai menyelesaikan tilawah, Hawa termenung sendirian. Fikirannya mencongak-congak samada mahu merujuk dilema yang sedang dihadapi itu kepada murabbinya ataupun tidak. Tiba-tiba kedengaran telefonnya berdering. "Assalamualaikum, akak!" Ceria suara Hawa tatkala menyambut panggilan dari sosok yang amat dicintainya itu. "Hawa baru je berkira-kira nak call akak tadi." "Waalaikumussalam, Hawa. Begitukan Allah sangat memahami kita. Dia tahu Hawa rindu akak, terus je Dia menggerakkan hati akak untuk call Hawa." Meleret senyuman Hawa. Terasa segar imannya mendengar butir bicara dari murabbinya itu. Tapi itu cuma seketika. Kemudian, senyumnya patah.

"Hawa. Hawa." Suara itu menyentak lamunannya. "Allah. Maaf akak. Hawa ter-mengelamun. Hee." "Are you okay, Hawa?" Sepotong ayat itu sudah cukup itu untuk membuatkan Hawa membuka cerita. "Akak, ibu Hawa..."

.

"Assalamualaikum, ibu." "Waalaikumussalam, sayang. Hawa sihat? Lama tak telefon ibu." "Alhamdulillah, Hawa sihat, bu. Ibu pulak apa khabar? Minta maaf dah 3 hari tak call. Hawa sibuk sikit. Semalam ada assignment kena submit." "Hurmm." Kedengaran suara Ibu mengeluh. Hawa rasa serba salah. "Hawa buat kerja last minute ya?" Tegas Ibu bertanya. "Ni mesti sibuk sangat dengan usrah tu kan?" "Allah, Allah. Ibu, bukan macam tu. Hawa..." "Sebab itulah Ibu tak suka Hawa melibatkan diri dengan usrah-usrah tu semua. Pelajaran pasti terganggu. Hawa, ingat balik kenapa Hawa dihantar ke sana. Untuk belajar. Untuk berjaya. Dan untuk berjaya dalam pelajaran, Hawa perlu fokus." Hawa menelan air liur. Kelat. Tanpa diberi ruang untuk memberi penjelesan, Ibu bertubi-tubi menyatakan pendiriannya perihal penglibatan Hawa dalam usrah. "Ibu tak masuk usrah pun jadi orang baik juga, Hawa. Ayah tak pernah join usrah pun, kaki masjid juga. Tak perlu extreme dalam beragama Hawa. Cukup-cukup lah kita bersederhana. Sembayang jangan tinggal, bulan Ramadhan kita puasa, kita tarawih. Kita buat baik dengan orang. Dan jaga kain masing-masing. Faham?" "Ya, Ibu." Hawa merendahkan suara - cuba untuk meredakan suasana. Walhal hatinya terasa pedih dengan kata-kata Ibu. Akalnya amuk membantah. "Islam itu bukan sekadar solat dan puasa." Kata-kata murabbinya bermain-main di fikiran. 

Wednesday, February 6, 2013

Sesat.

Sesat.
Keseorangan.
Sendirian.
Kau gusar tak tahu mana jalan.
Setiap langkah mu lencong.
Dan untuk setiap rebah,
cedera mu tambah parah.
Berkecamuk akal dan jiwamu:
"Kenapa aku sentiasa dalam kepayahan
sedangkan diriku mahu menuju kebaikan?"
Sesak dan berang,
kau pecah,
pasrah, 
lalu tertunduk menyerah -
"iyyakana'budu wa iyyakanasta'in.
ihdinassiraathal mustaqim."

Monday, February 4, 2013

Untuk basah dalam teduhan, sungguh, aku rindu.

Apa yang ada untuk dikesalkan?
Dari segala yang tersisa, binalah teduhan baru.
Damai yang telah luruh darimu itu,
moga kau kembali menemukannya di sana.

Selepas sekian lama kau jatuh cinta,
mungkin sudah tiba waktu untuk kau bangun cinta.

Saturday, February 2, 2013

Antologi #7 - antara lena dan jaga, juga waktu di antara keduanya.

#1
Perempuan itu ironi. Bukan tidak sering euforia dan melankoli mereka akarnya serupa.

#2
Kasihan tidak pada seorang dia yang terperangkap dalam mimpi-mimpi gilanya dalam lena dan jaga, juga waktu di antara keduanya?

#3
Jujur, aku malu untuk pulang menghadap dengan iman yang rabak.

#4
Boleh tidak kalau anak perantau itu tidak mahu balik menetap di tanah asalnya? Serasa separuh jiwanya sudah bergaul sebati dengan tanah yang pernah asing ini. Bumi kenal Tuhan, bumi kenal diri, apa mungkin sama dengan tanah asal yang dulu menghakis jati diri?

#5
Kau bawak beban berat - semua yang mereka campak buang kau kutip. Kemudian, kau mohon mereka yang terkehadapan untuk menuntun mu. Panjangkah tanganmu 'tuk capai mereka? Pantaskah langkahmu 'tuk berpadu dengan mereka?

#6
Kalau cinta itu adalah teh -- dulu manis, kini sudah tawar rasa. Mahu tidak kau tolong tambahkan gula barang sesudu dua untuk buat teh kembali jadi sesedap rasa? Insya-Allah, akan jadi jariah buatmu sampai diri ini habis nyawa.

#7
Terbebankah jiwa mu jika dikhabarkan engkau akan mati sebulan lagi? Apakah ia akan mati sebelum mati, atau khabar itulah yang menyuburkan tanah yang selama ini kontang?