Thursday, February 14, 2013

Cerpen: Antara dua cinta (i).

Klik. Talian diputuskan. Gadis itu menghela nafas panjang. Dadanya terasa sempit. Dunianya terasa sesak. Dia terhimpit di antara dua cinta - cinta yang sudah sekian lama mengasuh dan membelainya dan cinta yang baru ditemukan di Tanah Ratu ini.

Hawa melabuhkan duduk di bangku kosong itu. Pandangannya dihala ke arah padang. Belum aman. Lantas, wajahnya diangkat mendongak langit. Biru. Permai. Ada tenang yang singgah mengurangkan gusar hatinya. "Perlukah aku memilih, Ya Allah? Sedangkan keduanya amat bermakna terhadapku." Patah-patah kata itu meluncur dari bibirnya, separa berbisik. Telinganya menangkap monolog itu. Hawa tersentap dengan ucapannya sendiri. "Allah, Allah. Ini ujian buatmu Hawa. Jangan mengeluh." Pantas imannya mengingatkan. "Hasbunallah wa ni'mal wakeel wa ni'mal maula wa ni'man nasir." 

Usai menyelesaikan tilawah, Hawa termenung sendirian. Fikirannya mencongak-congak samada mahu merujuk dilema yang sedang dihadapi itu kepada murabbinya ataupun tidak. Tiba-tiba kedengaran telefonnya berdering. "Assalamualaikum, akak!" Ceria suara Hawa tatkala menyambut panggilan dari sosok yang amat dicintainya itu. "Hawa baru je berkira-kira nak call akak tadi." "Waalaikumussalam, Hawa. Begitukan Allah sangat memahami kita. Dia tahu Hawa rindu akak, terus je Dia menggerakkan hati akak untuk call Hawa." Meleret senyuman Hawa. Terasa segar imannya mendengar butir bicara dari murabbinya itu. Tapi itu cuma seketika. Kemudian, senyumnya patah.

"Hawa. Hawa." Suara itu menyentak lamunannya. "Allah. Maaf akak. Hawa ter-mengelamun. Hee." "Are you okay, Hawa?" Sepotong ayat itu sudah cukup itu untuk membuatkan Hawa membuka cerita. "Akak, ibu Hawa..."

.

"Assalamualaikum, ibu." "Waalaikumussalam, sayang. Hawa sihat? Lama tak telefon ibu." "Alhamdulillah, Hawa sihat, bu. Ibu pulak apa khabar? Minta maaf dah 3 hari tak call. Hawa sibuk sikit. Semalam ada assignment kena submit." "Hurmm." Kedengaran suara Ibu mengeluh. Hawa rasa serba salah. "Hawa buat kerja last minute ya?" Tegas Ibu bertanya. "Ni mesti sibuk sangat dengan usrah tu kan?" "Allah, Allah. Ibu, bukan macam tu. Hawa..." "Sebab itulah Ibu tak suka Hawa melibatkan diri dengan usrah-usrah tu semua. Pelajaran pasti terganggu. Hawa, ingat balik kenapa Hawa dihantar ke sana. Untuk belajar. Untuk berjaya. Dan untuk berjaya dalam pelajaran, Hawa perlu fokus." Hawa menelan air liur. Kelat. Tanpa diberi ruang untuk memberi penjelesan, Ibu bertubi-tubi menyatakan pendiriannya perihal penglibatan Hawa dalam usrah. "Ibu tak masuk usrah pun jadi orang baik juga, Hawa. Ayah tak pernah join usrah pun, kaki masjid juga. Tak perlu extreme dalam beragama Hawa. Cukup-cukup lah kita bersederhana. Sembayang jangan tinggal, bulan Ramadhan kita puasa, kita tarawih. Kita buat baik dengan orang. Dan jaga kain masing-masing. Faham?" "Ya, Ibu." Hawa merendahkan suara - cuba untuk meredakan suasana. Walhal hatinya terasa pedih dengan kata-kata Ibu. Akalnya amuk membantah. "Islam itu bukan sekadar solat dan puasa." Kata-kata murabbinya bermain-main di fikiran. 

1 comment:

Mohamad Shahrilniza said...

bila jari jemari mula menari..
sila sambung.