Showing posts with label usrah.dan tarbiyyah islamiyyah.. Show all posts
Showing posts with label usrah.dan tarbiyyah islamiyyah.. Show all posts

Sunday, January 16, 2011

usrah.&tarbiyah islamiyyah. (ii).

assalamualaikum.

waktu yang ditempuh sewaktu menunggu keputusan spm merupakan antara waktu puncak konflik dalam diri saya. pada waktu itu, jiwa saya memberontak kerana saya merasakan perjuangan menuju Tuhan itu amat payah. dalam masa yang sama, jauh di sudut hati saya sangat merindukan ketenangan yang saya pernah rasakan sewaktu di mrsm. namun, syaitan lebih berjaya menguasai hati saya. meskipun hati saya sangat merindui Allah, saya tidak langsung berusaha untuk bangkit mencari penawar. bahkan, saya ubat dan rawat hati dengan perkara-perkara dunia yang membuatkan saya leka dan merasa lepas dari konflik jiwa yang dialami. selain itu, sebagai tanda protes terhadap kepayahan dalam perjuangan, saya tinggalkan banyak amalan yang dulu jadi pegangan. mujur saja Allah tidak ambil nyawa saya pada ketika ini. kalau tidak, entah apa yang akan saya jawab dihadapanNya nanti.

lewat protes dan keegoan saya dalam menangani konflik, Allah masih menyayangi saya. saya terpilih untuk menyambung pengajian ke intec. saat itu, gunung ego saya runtuh. sungguh, kasih sayang dan rahmat yang dilimpahkanNya benarbenar membuatkan saya jadi malu sendiri. lalu, saya bertekad dalam hati untuk kembali mentarbiyah diri.

meskipun tempoh pengajian saya di intec sebulan cuma, itu adalah tempoh yang akan saya ingat sepanjang hayat saya. hal ini kerana di intec lah saya temui sumber kekuatan untuk bangkit menyambung perjuangan. di intec, saya diperkenalkan kembali dengan usrah. dan di sini, saya diperjelaskan dengan sebenar-benarnya tentang makna usrah - keluarga. dan, makna itu benarbenar dimanifestasikan dalam usrah kecil saya. tautan kasih sayang yang terjalin antara saya, rakanrakan usrah, serta naqibah kami dirasakan sungguh tulus sehingga meresap ke lubuk hati yang paling dalam. demi Allah, saya kasihkan mereka semua. mereka saya jadikan sayap kanan dalam perjuangan. mereka jadi sumber rujukan, dan sumber ilham.

dari usrah ini, kecintaan saya pada Islam bertambah. saya peroleh banyak ilmu yang tidak saya peroleh di sekolah. dalam usrah ini, saya dididik dengan ilmu al-Quran. saya lebih kenal al-Quran setelah menyertai usrah di intec. sebelum ini, al-Quran itu bagi saya cuma sebuah kitab untuk dibaca dan dilagukan semata-mata. pada saya, al-Quran itu indah pada susunan ayatnya, sedap lagu bacaannya. penenang jiwa, pendinding diri, dan peneman di barzakh nanti. namun, setelah didedahkan dengan buku-buku tafsir, saya lebih mengenali al-Quran. ruhnya mula terasa. dirasakan al-Quran itu hidup, bukan catitan ayat di atas lembaran kertas cuma. pertama kali mengenal al-Quran dengan mendalam, terus saja saya jatuh cinta. dan dirasakan segunung semangat dihembuskan ke dalam jiwa saya. pada waktu ini, saya bulatkan tekad. apa juga kepayahan yang saya tempuhi, saya takkan pernah berundur dari jalan ini. hidayah Allah itu terlalu mahal untuk saya jadikan barang permainan tarik tali.

namun, benarlah kata orang, jalan menuju Allah itu tidak akan pernah mudah. penglibatan saya dalam usrah tidak disenangi orangorang terdekat. jenuh saya cuba menjelaskan. bahkan, saya mempertemukan mereka dengan naqibah saya sendiri. namun, tidak ada yang mahu memahami. pernah sekali, saya dijemput di tempat program sewaktu program masih berlangsung. sedihnya hati, Tuhan saja yang tahu. pada waktu ini, saya sangat dahagakan ilmu agama. jadi, apabila dibawa pulang dari majlis ilmu begitu sahaja membuatkan saya merasa seperti direnggut jongkong emas yang ada di tangan saya.

syukur sahaja ahli usrah semuanya memahami. kerana mereka, saya tidak teragak-agak untuk terus maju dalam perjuangan. ukhuwah yang didasarkan atas kecintaan terhadap agama menjadikan saya seorang yang kukuh pendirian. saya merasa gagah di atas jalan mencari hidayah Tuhan kerana adanya mereka sebagai tempat pergantungan. tapi, sekali lagi, panas yang disangkakan hingga ke petang, tidak langsung berpanjangan. takdir yang tertulis memisahkan kami pada dua jalan yang berbeza. perpisahan yang terjadi sewaktu saya enak mentarbiyah diri memang ujian yang payah buat saya. saat iman masih belum teguh, kefahaman masih belum utuh, saya terpaksa merangkak sendiri mencari nur Ilahi. dan sifat saya bila kehilangan adalah jiwa saya akan menjadi lemah. dan, saya pun tersasar lagi...




.bersambung.

Friday, January 14, 2011

usrah.&tarbiyah islamiyyah. (i).

assalamualaikum.
:)

usrah. satu perkataan yang bukan baru dalam hidup saya. saya kenal usrah sejak dari tingkatan 4. pada waktu itu, ada program usrah dijalankan di mrsm saya untuk julung kalinya. dan keterlibatannya khas untuk pelajar puteri.

tapi, pada waktu itu saya tak pernah nak ambil peduli perihal usrah. homesick lagi penting. tambahan pula, perjalanan program usrah masih baru. semua orang tak faham dengan konsep usrah. tiada siapa yang betubetul stress-kan akan kepentingan pelaksanaan program baru ini. dan saya rasa bukan sekadar saya, yang lainlain pun tak ada yang ambil peduli. termasuk naqibah saya sendiri. saya rasa kami bertemu muka cuma sekali, sewaktu sesi ta'aruf. dan kemudian tiada perjumpaan lagi. sebab tu saya tak pernah ingat siapa naqibah saya sampai hari ini.

masuk tingkatan 5, tugas biro puteri tergalas di bahu saya. biro puteri yang sebelumnya sudah mengamanatkan kepada saya untuk meneruskan program usrah ini. legasi ustazah katanya. saya terima amanat itu dengan berat hati. kerana saya tahu, nak buat usrah bukan mudah. banyak hati yang ikhlas diperlukan. dari kalangan batch saya, saya pilih beberapa orang yang saya percaya mampu menjadi naqibah yang baik. saya letakkan seorang naqibah pada setiap dorm. pengisian yang saya minta naqibah laksanakan adalah baca yasin di dorm pada malam jumaat. dan juga halaqah tilawah pada bulan ramadhan. lagi, perjumpaan singkat untuk sharing tazkirah selepas zohor setiap hari jumaat. itu sahaja. dan, ambil kedatangan adikadik serta hantar laporan usrah setiap minggu.

nampak macam sistematik bukan? tapi, pelaksanaan usrah juga gagal di bawah tanggungjawab saya. banyak yang mengeluh. usrah mengganggu waktu study. dan sejujurnya, saya sendiri pun rasa begitu. lalu, saya pun mengambil langkah dengan memberi opsyen kepada para naqibah untuk mengadakan usrah bilabila masa sahaja. tidak lagi menjadi kewajipan untuk berusrah setiap minggu. selepas keputusan itu dibuat, program usrah menjadi amat pasif. tapi, saya tidak pernah kisah. kerana saya tidak merasakan keputusan itu sesuatu yang salah. bahkan, saya fikir mungkin itulah yang keputusan yang terbaik untuk semua pihak.

saya nampak punca kegagalan program usrah di bawah tanggungjawab saya. saya, yang bertanggungjawab menyelia perjalanan program, tidak pernah faham apa itu sebenarnya yang dipanggil usrah. tiada siapa yang pernah cuba menjelaskan kepada saya akan kepentingan usrah selain meneruskan legasi ustazah. dan saya sendiri, tidak pernah berusaha untuk mencari apa sebenarnya makna di sebalik usrah. kerana saat itu fokus cuma pada ilmu dunia - spm semata-mata.

pada masa yang sama juga, iaitu di tingkatan 4 dan 5, saya meneroka sisi baru diri saya. di sini, saya tahu yang hati saya tandus dengan pengetahuan agama. di sini, saya sedar betapa jauhnya jarak saya dengan Allah. lalu, perlahan-lahan saya mengatur langkah untuk merapatkan diri kepadaNya.

Allah mengatur kehidupan saya dengan cantik. dengan berjauhan dari mama, cuma mempunyai seorang sahabat, saya hilang pergantungan pada manusia di mrsm itu. lalu, saya mula belajar untuk mengenal Dia. dan seluruh pengharapan dan pergantungan saya letakkan kepadaNya. saat homesick saya kronik, saya pasti akan duduk lamalama di surau. waktu itu, saya rasakan ketenangan yang indescribable setiap kali meluahkan kesedihan kepada Dia. itulah titik mula saya jatuh cinta kepadaNya.

di mrsm itu, proses pentarbiyahan diri bermula. tapi, saat itu saya sendiri. saya cari gali ilmu Islam dengan sendiri. saya banyak habiskan masa di surau untuk cari tazkirah-tazkirah yang boleh saya baca. tidak ada orang yang tunjukkan jalan pada saya. saya belajar tentang aurat dengan sendiri. saya revise hukum-hukum tajwid sendiri. tapi, apalah sangat ilmu yang saya peroleh dengan ruang masa dan sumber bacaan yang sangat limited. kefahaman saya tentang Islam dan Allah pada waktu itu cetek cuma. apa yang saya faham, saya cuba manfaatkan. jerih perih nak dapatkan ilmu agama pada waktu itu menjadikan saya sangat menghormati setiap ilmu yang saya peroleh. tapi, kefahaman saya terhadap sesuatu perkara tidak ada yang total. kebanyakannya 60% sahaja, tidak ada yang menyeluruh. dengan itu, adalah sahaja ompongan dalam amal perbuatan saya.

dalam kepayahan mentarbiyah diri, Allah hantarkan ujian pada hati. dan saya yang jahil pada waktu itu, menyalah faham ujian itu sebagai kurniaan. lalu, disandarkan pada kurniaan itu segala kekuatan dalam perjungan. disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. heh. itulah juga yang terjadi pada saya. 'kurniaan' itu ditarik kembali. saat itu, robohlah kekuatan saya dalam tarbiyah. ibarat si buta berjalan tiada bertongkat, berkalikali saya tersembam dalam perjuangan setelah tempat sandaran kekuatan roboh. hinggakan, pada saat terlalu lelah dalam mujahadah, saya mengalah. dan kembali pada jahiliyah...






.bersambung.