Sunday, December 1, 2013

Wahai jiwa, bersihkan dirimu dan terbanglah menuju Rabb mu Yang Maha Tinggi.

Assalamualaikum.


Tanpa sedar
aku yang memilih untuk 
kurang cinta,
kurang tunduk,
kurang 'jiwa'.
kian menjauh,
dan mendiam.

Saat jiwa ku sebal,
dan hati sesak bernafas dalam kegelapan,
tanpa sedar
yang pertama harus aku bunuh pada saat itu adalah 
'aku'.

aku yang malas.
aku yang lemas.
aku yang lalai.
aku yang sering lupa.
aku yang enak berselimut dosa.
kan sudah ku bilang --
aku sebenarnya yang memilih untuk
kurang cinta,
kurang tunduk,
kurang 'jiwa'.
kian menjauh,
dan mendiam.

---

menjejak usia baru,
Batu penanda umur yang makin pendek,
moga amal dan jiwaku tidak semakin jelek.
Kematian berlari menghampiri,
semoga aku tidak mati sebelum mati.
Selamat 'menghidupkan' usia mu yang berbaki, marini.

:)
Seoul, Korea.
0935. 011213.


Monday, November 11, 2013

yang kepatahan pena.

assalamualaikum.


Ukhti SR

"dan paling tinggi --
kerana Allah."

diam.
saya terpempan.
tatkala sedang sibuk memikirkan asbab diri yang semakin pasif menulis,
Allah hantarkan jawapan melalui ukhti tercinta;
sudah terlalu lama saya lupa untuk menulis kerana-Nya!

sudah berapa lama saya menulis untuk memuaskan emosi semata. sudah berapa lama saya menulis untuk bercerita sekadarnya sahaja. dan sudah berapa lama pula contengan-contengan saya itu menjadi picisan sia-sia yang mungkin bisa menghambat saya ke neraka.  Allahu Allah.
T___T

dan tidaklah pena ini patah melainkan kerana iman yang bertambah suram,
dan hati yang semakin kelam.

sudah tiba masa untuk pulang, marini.
hadapkan hatimu pada kiblat yang sebenarnya --
dengan seikhlasnya.
dan bertajarrudlah!

Tuesday, September 17, 2013

Untitled (i).

i.
dan dalam kekabutan rasa,
dia semakin laju berlari mendapatkan Tuhannya.
sungguh, masalah bisa jadi hadiah
bagi manusia yang tulus merasa dirinya hamba.

(dan aku, masih juga tetap mencuba.)

ii.
diam dia di satu senja
cuba memahami makna
titipan-titipan kejadian
yang biasa jadi anugerah istimewa dari Tuhan.

iii.
untuk setiap dosa silam,
ajarkan diri untuk memaafkan diri -
ini juga salah satu cara untuk melepaskan.

iv.
jika harap akan terkambus waktu,
...
biarkan. 
kerana rencana Tuhan itu adalah sentiasa yang terbaik buatmu,
kan?

Monday, September 16, 2013

memijak realiti.

assalamualaikum.

setelah berbelas kali buka new post-taip-backspace atau buka new post-taip-draft-delete draft, akhirnya hari ni saya putuskan yang saya harus kembali menulis dengan serius. peperangan antara keinginan untuk menulis dan ketidak-mampuan untuk menulis benar-benar bikin hati saya rusuh. dunia saya juga terasa menyempit. dan bilamana saya tidak lagi aktif menulis (meski cuma contengan tanpa makna), saya merasakan kondisi spiritual saya semakin merosot. kerana hakikatnya menulis ini adalah satu terapi jiwa bagi saya. saya muntahkan buah fikir dan perasaan saya di sini. dan bila saya tidak lagi menulis, saya biarkan segala perasaan itu terperosok dalam diri and sometimes, they are just too much to bear.

tambahan lagi, semenjak pulang ke Malaysia, saya seperti seorang anak yang baru belajar mengenal dunia. many things are unfamiliar to me and readjusting sometimes could be a painful process

*tarik nafas*

termasuk hari ini, saya sudah bergelumang dengan realiti di Malaysia selama 78 hari. namun, saya masih belum mampu untuk blend in dengan dunia baru saya sepenuhnya. kehidupan di UK selama tiga tahun telah banyak mengubah sisi-sisi yang ada dalam diri saya sehingga dunia Malaysia yang saya hadapi sekarang tidak lagi saya rasakan sepertimana yang ditinggalkan 3 tahun dulu. Malaysia tidak banyak yang berubah. namun, perubahan pada perspektif saya tentang hidup dan kehidupan yang membuatkan saya mendapati Malaysia sebagai satu dunia yang berbeza dari 3 tahun sebelumnya. 

and i found out that many of the bfg students are facing similar struggles. tak mengapalah. mungkin ini jihad kita. akan tiba masa, kita akan menyatu semula dengan tanah ini. namun, semoga bukan kita yang larut. semoga penyatuan berlaku melalui manfaat-manfaat yang kita telah (dan akan) salurkan pada masyarakat, negara dan ummah, insya-Allah. akhir kalam, may Allah ease everything for us. :)


"Tsabat is a verb." - kak mimy

Saturday, July 27, 2013

'selamat hidup kembali'.

saya sering mereka-reka dalam kepala
ke mana arah tuju hidup ini
sedang kaki masih tak berganjak,
tetap tegak pada satu sudut yang sama --
tak ke mana.

sudah 18 Ramadhan.
sudah 27 Julai.
sudah tamat fasa 're-adjusting'.
wajib mula fasa 'living'.

Allah, terima kasih untuk 3 tahun tarbiyah
yang meski paling besar impaknya adalah mendidik saya untuk qanaah -
kerana itulah rupanya yang paling saya butuhkan untuk survival di fasa hidup yang baru.

Tuesday, July 9, 2013

Ahlan ya Ramadhan! :')

Assalamualaikum w.b.t.

Subhanallah walhamdulillah. tak terucap kesyukuran bilamana diri ini menyedari Allah telah memberi nikmat umur sehingga saya kembali berpeluang bertemu dengan Ramadhan. alhamdulillah thumma alhamdulillah thumma alhamdulillah. :')

berbanding tahun-tahun sebelumnya, saya merasakan inilah tahun yang mana saya paling tidak bersedia untuk menyambut ramadhan. bahkan, terdetik juga di dalam hati akan betapa masih kotornya diri untuk memasuki bulan mulia yang penuh barakah ini. perasaan itu berterusan sehinggalah pagi tadi. seorang sahabat telah share video ini di facebook. dan dalam video ini dibacakan satu hadis yang sangat menggegarkan jiwa, yang menjadikan saya sangat excited dan bersyukur dapat dipertemukan kembali dengan ramadhan.
"Dari Abu Hurairah r.a., Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: Sesiapa yang mengerjakan ibadah puasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan rahmat daripada Allah swt, nescaya Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang lalu." (HR Bukhari dan Muslim)
Allahu Allah. Ramadhan adalah bulan yang akan membersihkan segala dosa-dosa kita yang lalu. Kerana Maha Pengasih, Maha Pengampun dan Maha Penyayang nya Allah, maka dihadiahkan kita dengan Ramadhan - demi memberi peluang kepada kita untuk kembali membersihkan hati dan jiwa dan berlari pulang kepadaNya dengan fitrah asal kita -- bersih sebersihnya! Fa bi ayyi alaa irabbikuma tukazziban?

Subhanallahi wabihamdih. Subhanallahil 'adzim. Can you feel the ultimate Love of Allah?

Kerana Allah telah mengurniakan Ramadhan kepada kita dengan cinta, maka selayaknya kita juga membalas  kurniaan ini dengan cinta. Untuk diri saya, gunakanlah Ramadhan ini untuk membina kembali taqwa dalam diri, untuk menjahit semula sejadah iman yang telah rabak, untuk kembali memaknai ikhlas dan ihsan, juga berusaha untuk menanam sepenuh jiwa rasa berTuhan. moga Allah memudahkan jihad saya dan jihad kalian juga dalam madrasah Ramadhan tahun ini.

Ramadhan Kareem! :)

Friday, July 5, 2013

Tentang ikhlas.

Teringat sewaktu awal hijrah -
betapa bersih hati menarik jasad kembali padanya.
Anehnya, semakin lama mendewasa dalam tarbiyah,
semakin dirasakan pudar ikhlas itu.
Sehingga ibadah jarang dirasakan semanis dulu.
Kenapa ya?
Bilamana mutabaah amal semakin membaik, ihsan pula semakin berkurang?
Apakah yang kita kejarkan sebenarnya?
Naik tingkat mustawa, atau puji-puji manusia kerana banyaknya amal kita?
Ataukah kerana asyik bercakap tentangNya ke sana ke mari, tazkirah sudah jadi dendangan syair yang asyik di telinga ramai namun sudah tidak mampu menembusi tembok hati sendiri?

Astaghfirullah.
Astaghfirullah.
Astaghfirullah.

Ya Allah, bimbing hati kami. Untuk tetap taat kepada Mu dengan sepenuh ikhlas hanya keranaMu!

Monday, May 20, 2013

contengan rambang 13 jam sebelum final.

assalamualaikum.

13 jam dan 30 minit lagi, paper pertama untuk final kali ini akan bermula. perasaan bercampur baur: nervous, anxious, gembira, rasa tak bersedia, dan macam-macam lagi. dirasakan seperti exam kali ini merupakan exam yang paling saya kurang persediaannya. too much things happened, too many distractions. sudah berusaha sedaya mampu, tinggal lagi perlu tawakkal. semoga semuanya baik-baik saja nanti. akan kembali menulis selepas habis kesemua paper tanggal 31 may nanti, insya-Allah. oh, dan mama, abah, baby, che za and ayah jak will be arriving in london on this upcoming 24th, insya-Allah. they will be tying for 2 weeks or so. i am so looking forward for their arrival. i'm definitely in need of such moral and emotional support. mudah sangat breakdown akhir-akhir ini. T__T i guess that's all for now. 
till then, fi amanillah. 
:)

Wednesday, May 15, 2013

Contengan 5 hari sebelum final exam.

Assalamualaikum.
  1. Ramai kawan se-batch saya menerima tiket pulang ke Malaysia hari ini. Terasa seperti mendapat satu tamparan realiti. Waktu bersenang-lenang semakin menghampiri penamat. Kami dijadualkan kembali ke Malaysia for good 28 Jun ini, insya-Allah. Dan mulai 29 Jun, kehidupan sebenar akan bermula. "Malaysia adalah medan realiti yang sebenar." Itulah yang sering dituturkan naqibah saya. Segala ilmu, tarbiyyah, mutiara hidup dan hikmah yang saya kutip sepanjang 3 tahun di uk akan dicabar untuk aplikasi dan implementasi di Malaysia nanti. Doakan, moga saya mampu untuk memberi semula kepada masyarakat - bukan sahaja dari sudut dakwah, bahkan dari segenap kemampuan dan kemahiran yang diperlukan. Doakan juga, moga saya sentiasa kuat dan tetap tsabat di jalan D&T. Jujur, saya nervous sebenarnya untuk bersemuka dengan realiti yang sedang menanti di hadapan.
  2. Saya mula mencongak corak kehidupan di Malaysia. Apa yang boleh saya lakukan? Alhamdulillah, saya gembira dengan budaya menyebarkan dan perkongsian ilmu yang kelihatan semakin subur di Malaysia. Buku Jalanan, TFTN, street dakwah, ceramah-ceramah agama, seminar politik, pendidikan, etc., dan bermacam program lagi. Memandangkan kehidupan di Ipoh nanti seakan kurang sibuk, insya-Allah akan cuba dimanfaatkan masa terluang dengan program sebegini. But, i'm really enthusiastic about Buku Jalanan dan TFTN project. 
  3. Final examination saya bermula 20 May nanti. May all the TeSLians pass with flying colours. Selamat berjaya, kawan-kawan! :D
  4. I am in the midst of making decision about an important thing. Indeed, deciding would never be easy. Belajar membulatkan tawakkal pada Allah. Semoga ditunjuki jalan yang paling lurus dan paling baik untuk saya (dan kita semua).
  5. 2 kakak senior TeSL bakal berkahwin hujung may dan awal jun nanti. begitu juga dengan sahabat kesayangan saya, nazahah ibrahim dan kak afifah. sedih sebenarnya tak dapat hadir walimah kalian. cuma mampu menghantar doa dari jauh. mabruk sisters! may the love last till jannah, insya-Allah. :)

Saturday, May 4, 2013

selamat maju jaya, malaysia!

assalamualaikum.

esok adalah 5 may yang dinanti oleh sekalian rakyat malaysia. meski jauh dari tanah air tercinta, debaran dan bahang pilihan raya turut dirasai di tanah ratu ini. untuk sekalian rakyat malaysia, selamat mengundi. please vote for a better malaysia! cast your vote to those who you think would benefit rakyat the most. baik kerajaan, mahupun pembangkang - siapa juga yang akan dipangkah esok - semoga kemenangan mereka akan membawa malaysia setapak ke hadapan dari kedudukan hari ini dari segenap segi: pentadbiran, ekonomi, pendidikan, kesihatan, keselamatan. infrastruktur, sahsiah, perpaduan masyarakat, etc.

di sana sini boleh didapati rakyat yang dahagakan perubahan. tapi, perlu kita sedar yang kitalah yang terlebih dahulu perlu menggerakkan perubahan itu. selain memangkah undi, berusahalah juga untuk memperbaiki diri; tingkatkan iman, improve akhlak, dan sentiasa tambahkan ilmu dalam pelbagai bidang. mould yourself into an all-rounded muslim so that kita mampu menjadi anasirul taghyir yang boleh menganjak bukan sahaja malaysia, bahkan ummah secara seluruhnya, ke arah yang lebih baik. kita mahu mereformasikan malaysia bukan sahaja dari pucuk pimpinan, bahkan sehingga ke akar umbi. kerana apalah gunanya pokok yang daunnya hijau, tetapi akarnya reput? lama-kelamaan buah akan cepat busuk, daun mudah layu dan pokok akan mati. 

akhir kata, selamat maju jaya untuk malaysia dan kesemua rakyatnya! 

Monday, April 29, 2013

Andai sahaja tali yang mengikat antara saya dan kenangan bisa diputuskan.

assalamualaikum.

tadi saya mencuri masa sejenak membelek tulisan-tulisan sendiri yang dahulu. perasaannya sungguh aneh; seakan membaca nukilan seorang marini yang lain. 2010 hingga 2013 itu sepertinya bukanlah satu jangka masa yang terlalu lama. tapi dalam melewati batas waktu 3 tahun ini, terlalu banyak perkara yang dijalani yang sedikit demi sedikit membawa saya pergi dari diri saya sendiri. hidup ini payah nak dijangka, kan? kalau ditanya saya yang tiga tahun dahulu tentang expectationnya siapa akan saya jadi 3 tahun kemudian, saya sangat pasti jawapannya bukanlah saya yang sekarang. 

gelas yang pecah, meskipun dicantum kembali, mana mungkin akan kelihatan seperti rupa asalnya. 

dan saya belajar dari hidup, bisa jadi, jika seseorang memakai topeng terlalu lama akhirnya dia akan lupa pada rupa asalnya.

hah. mengenang ke belakang (untuk waktu sekarang) cuma menghadiahkan rasa perit.
selak kalendar. menghitung waktu.
tidak sabar mahu kembali ke bumi Malaysia
jadi orang yang baru.





sebenarnya 2010 mengajar saya, bisa saja dilepaskan semua andai hati punya kekuatan untuk mahu melepaskan. dan, ya, ini bukan satu rambling soal cinta.

Friday, April 26, 2013

Putih terlihat tulisan saya, ada calit hitam di muka surat belakang.

Assalamualaikum.

"Jangan dinilai seseorang melalui tulisannya. Dalam setiap tawa yang dirakam, ada tangis yang dia sembunyikan. Pada setiap hembus semangat yang dititipkan, bahkan jiwanya sendiri sedang berperang. Juga indah akhlak yang terlihat dari lakaran kisahnya, tetap juga dia punya sisi gelap - yang alhamdulillah, Allah sembunyikan!"

Saya kaget menerima banyak friend request dari sekalian akhawat di fb. Kebanyakannya mengenali saya lewat blog picisan ini. Allahu, sungguh saya amat berbesar hati dengan salam ukhuwah yang dihulurkan. Namun, saya bimbang jika setelah diteliti identiti saya, saya bukanlah sosok sebagaimana yang kalian impikan. bukanlah reputasi saya yang dirisaukan, tetapi saya takut cela saya menjadi fitnah pada Islam, (dakwah), dan tarbiyyah. T___T

Ukhtikum fillah,
Saya cuma satu jiwa yang sedang berjuang meraih redha Tuhannya. Jiwa yang sudah mengenal cahaya iman, namun belum bersih seluruhnya sehingga bergemerlapan membiaskan cahaya. Masih banyak jahiliyah yang membelit diri, juga masih banyak sifat mazmumah yang perlu diperbaiki.

Sesungguhnya, saya cuma seorang gadis biasa -
seperti kalian yang juga sedang memperbaiki diri sebagai persiapan untuk balik bertemu Pencipta kita.

p/s: kasih yang tumbuh lewat titipan rasa di ruang ini, kita salurkan dalam doa ya? tetap saling menguatkan, sehingga kita semua beroleh kemenangan yang dinantikan. :')

"Allahumma inna nasaluka ridhaka wal jannah."

Saturday, April 13, 2013

Paradoks.

kakak: 
lama awak tak menulis?
marini: 
itulah. (rasa) tak sempat.
kakak: 
you are a person who spills your thoughts and emotions through writing right?
marini:
*angguk kepala*
kakak:
then, what happen to them all this while?
marini:
*complete silence*

.

jesteru satu pertanyaan yang membuatkan saya terfikir - sedang saya semakin jarang menulis, ke mana dialirkan segala buah fikir dan perasaan? mungkinkah sebenarnya selama waktu itu saya sudah semakin kurang berfikir juga semakin kering emosi? ataukah terlalu banyak berfikir dan emosi yang sering berbaur membuatkan saya semakin ralat untuk menulis terutamanya di sini? 

aneh, bilamana diteliti jawapan yang ditemukan adalah keduanya sekali.

Monday, April 8, 2013

Nota dari Dubrovnik: Tentang hidup dan pilihan.

Dalam hidup, terlalu sering kita perlu membuat pilihan. Maka, pilihlah apa yang paling menenangkan hatimu selagi mana jalan itu tidak membuatkan kau menjarak dari Tuhan. Namun, akan ada masa bilamana kita tersalah langkah; tak usah gusar. Selagi ada nyawa, kita masih ada masa untuk kembali menuju Dia.

Dubrovnik; 05042013.


Tuesday, April 2, 2013

Spring Camp UK '13: Fafirru Ilallah!

Assalamualaikum.

dalam hidup, kita dihidangkan dengan terlalu banyak pilihan sehingga ada waktunya hati membulatkan tawakal kepada Allah untuk digerakkan ke arah pilihan yang terbaik. dhaifnya diri sebagai manusia, tidak punya daya untuk menjarakkan pandangan jauh ke hadapan sehingga menyukarkan hati dan akal untuk menegaskan pilihan. dan begitulah keadaan saya seminggu sebelum spring camp berlangsung. hati tidak tenteram memikirkan samada untuk mengikuti spring camp atau ke daurah pemuda syurga yang berlangsung warwick pada weekend yang sama. memandangkan kedua-duanya menjanjikan ganjaran ilmu yang lumayan, saya keliru dalam membuat pilihan. 

dua hari sebelum spring camp, saya membulatkan tekad menyerahkan hati kepada Allah untuk ditentukan pilihan yang terbaik buat saya. sungguh-sungguh saya memohon kepada Allah agar natijah pilihan itu akan memberikan saya sesuatu - sesuatu yang lebih dari sekadar ilmu. dan akhirnya, malam sebelum spring camp berlangsung, naqibah mendaftarkan nama saya untuk menyertai spring camp (kerana pada waktu itu pendaftaran secara formal sudah ditutup).

dan alhamdulillah thumma alhamdulillah, saya, insya-Allah, menemukan apa yang saya perlukan di spring camp itu - pembakar semangat yang telah lama lesu.
"Belum tibakah waktunya bagi orang-orang yang beriman untuk secara khusyuk mengingat Allah dan mematuhi kebenaran yang telah diwahyukan (kepada mereka), dan janganlah mereka (berlaku) seperti orang-orang yang telah menerima kitab sebelum itu kemudian mereka melalui masa yang panjang sehingga hati mereka menjadi keras. Dan banyak di antara mereka menjadi orang-orang fasik." - (Al-Hadid: 16)
3 tahun dalam dunia d&t merupakan satu tempoh yang sangat lama bagi saya. bermacam episod dan fasa tarbiyyah yang dihadapi sehingga saya jadi lebih kenal dan faham tentang dunia ini. sedang ada yang melonjak dalam tempoh 3 tahun, saya bahkan semakin merapuh. daurah, usrah dan program terus dihadiri tetapi saya sedar ada sesuatu yang telah hilang dari saya - semangat yang berkobar-kobar dan rasa cinta yang mendalam. eh, bukan. semangat dan cinta itu masih ada. tetapi yang saya rindukan adalah semangat dan cinta yang serupa sewaktu waktu mula-mula kembali mengenal ad-deen ini. dan di spring camp, Allah mengingatkan saya kembali tentang rasa itu melalui bidadari-bidadari yang ada di sekitar saya. T____T

masya-Allah, saya sangat tersentuh dengan semangat adik-adik untuk berubah dan kembali mengenal Islam. semangat mereka untuk memperbaiki diri demi menjadi ejen-ejen perubahan untuk membaikkan kondisi ummah dan memanifestasikan Islam sebagai rahmatan lil-'alamin. semangat mereka untuk mendapatkan maghfirah dan redha Allah. semangat mereka yang berlumba-lumba mengejar syurgaNya. Allahu, tak terungkap perasaan waktu memerhatikan dan bercakap-cakap dengan mereka. saya jadi teringat akan seorang saya di awal tarbiyyah. dan semangat adik-adik ini yang saya pinjam untuk balik membina kekuatan dan kembali mendapatkan 'saya yang telah hilang'. 

terlalu banyak priceless experience dan valuable lessons yang saya peroleh dari SCUK '13. i can't describe in words how happy and grateful i am that Allah had chose me to be there. saya pergi ke sana tanpa apa-apa expectation. saya menyerahkan hati sebulat-bulatnya kepada Allah untuk mentarbiyyah saya mengikut caraNya yang terbaik buat saya. subhanallah walhamdulillah, apa yang saya peroleh dari mukhayyam ini adalah sebenar-benarnya apa yang saya perlukan - lebih dari sekadar ilmu: perasaan yang benar-benar memacu saya ke hadapan, yang menarik saya untuk kembali berlari menuju Allah!

jazakumullah khairan kathira adik-adik untuk hadiah yang amat bermakna yang tanpa sedar kalian telah berikan kepada hamba Allah yang dhaif ini. semoga Allah tetap memelihara kalian di atas jalan menujuNya. jikalau kita tidak lagi berpeluang bertemu di dunia ini, semoga Allah mengumpulkan kembali sekalian kita di syurga nanti. Ana uhibbukunna fillah! 

Saturday, March 2, 2013

Sayang, tetaplah melangkah kerana ghayah kita adalah Allah.

Memandang ke belakang,
Menghitung derap langkah -
Sudah berapa lama dunia hitam itu kita tinggalkan?
Dan seberapa banyak pula beban jahiliyah yang menyusut sepanjang perjalanan?

Sayang,
Jalan menuju Tuhan ini panjang dan bisa jadi memeritkan.
Namun, moga tidak sesekali kita memilih untuk melangkah meninggalkan --
Meski lelah, meski payah,
Meski mengalir air mata dan darah.
Ratibku (untuk kita) usai setiap solat-solatku:
"Rabbana la tuzigh qulubana ba'da iz hadaitana wahablana mil'ladunka rahmah, Innaka anntal wah'haab."

Sayang,
teguhkan kaki mu di jalan ini,
dan kuatkan hati mu.
Ingatkah engkau akan janji mu pada-Nya dalam doa iftitah itu?
"Inna solati wa nusuki wa mahyaya wa mamati lillahi rabbal 'alamin.
La syarika lahu wa bidza lika umirtu
wa ana minal muslimin."



Southampton,
Daurah Syahadatul Haq
02-03032013.

Thursday, February 14, 2013

Cerpen: Antara dua cinta (i).

Klik. Talian diputuskan. Gadis itu menghela nafas panjang. Dadanya terasa sempit. Dunianya terasa sesak. Dia terhimpit di antara dua cinta - cinta yang sudah sekian lama mengasuh dan membelainya dan cinta yang baru ditemukan di Tanah Ratu ini.

Hawa melabuhkan duduk di bangku kosong itu. Pandangannya dihala ke arah padang. Belum aman. Lantas, wajahnya diangkat mendongak langit. Biru. Permai. Ada tenang yang singgah mengurangkan gusar hatinya. "Perlukah aku memilih, Ya Allah? Sedangkan keduanya amat bermakna terhadapku." Patah-patah kata itu meluncur dari bibirnya, separa berbisik. Telinganya menangkap monolog itu. Hawa tersentap dengan ucapannya sendiri. "Allah, Allah. Ini ujian buatmu Hawa. Jangan mengeluh." Pantas imannya mengingatkan. "Hasbunallah wa ni'mal wakeel wa ni'mal maula wa ni'man nasir." 

Usai menyelesaikan tilawah, Hawa termenung sendirian. Fikirannya mencongak-congak samada mahu merujuk dilema yang sedang dihadapi itu kepada murabbinya ataupun tidak. Tiba-tiba kedengaran telefonnya berdering. "Assalamualaikum, akak!" Ceria suara Hawa tatkala menyambut panggilan dari sosok yang amat dicintainya itu. "Hawa baru je berkira-kira nak call akak tadi." "Waalaikumussalam, Hawa. Begitukan Allah sangat memahami kita. Dia tahu Hawa rindu akak, terus je Dia menggerakkan hati akak untuk call Hawa." Meleret senyuman Hawa. Terasa segar imannya mendengar butir bicara dari murabbinya itu. Tapi itu cuma seketika. Kemudian, senyumnya patah.

"Hawa. Hawa." Suara itu menyentak lamunannya. "Allah. Maaf akak. Hawa ter-mengelamun. Hee." "Are you okay, Hawa?" Sepotong ayat itu sudah cukup itu untuk membuatkan Hawa membuka cerita. "Akak, ibu Hawa..."

.

"Assalamualaikum, ibu." "Waalaikumussalam, sayang. Hawa sihat? Lama tak telefon ibu." "Alhamdulillah, Hawa sihat, bu. Ibu pulak apa khabar? Minta maaf dah 3 hari tak call. Hawa sibuk sikit. Semalam ada assignment kena submit." "Hurmm." Kedengaran suara Ibu mengeluh. Hawa rasa serba salah. "Hawa buat kerja last minute ya?" Tegas Ibu bertanya. "Ni mesti sibuk sangat dengan usrah tu kan?" "Allah, Allah. Ibu, bukan macam tu. Hawa..." "Sebab itulah Ibu tak suka Hawa melibatkan diri dengan usrah-usrah tu semua. Pelajaran pasti terganggu. Hawa, ingat balik kenapa Hawa dihantar ke sana. Untuk belajar. Untuk berjaya. Dan untuk berjaya dalam pelajaran, Hawa perlu fokus." Hawa menelan air liur. Kelat. Tanpa diberi ruang untuk memberi penjelesan, Ibu bertubi-tubi menyatakan pendiriannya perihal penglibatan Hawa dalam usrah. "Ibu tak masuk usrah pun jadi orang baik juga, Hawa. Ayah tak pernah join usrah pun, kaki masjid juga. Tak perlu extreme dalam beragama Hawa. Cukup-cukup lah kita bersederhana. Sembayang jangan tinggal, bulan Ramadhan kita puasa, kita tarawih. Kita buat baik dengan orang. Dan jaga kain masing-masing. Faham?" "Ya, Ibu." Hawa merendahkan suara - cuba untuk meredakan suasana. Walhal hatinya terasa pedih dengan kata-kata Ibu. Akalnya amuk membantah. "Islam itu bukan sekadar solat dan puasa." Kata-kata murabbinya bermain-main di fikiran. 

Wednesday, February 6, 2013

Sesat.

Sesat.
Keseorangan.
Sendirian.
Kau gusar tak tahu mana jalan.
Setiap langkah mu lencong.
Dan untuk setiap rebah,
cedera mu tambah parah.
Berkecamuk akal dan jiwamu:
"Kenapa aku sentiasa dalam kepayahan
sedangkan diriku mahu menuju kebaikan?"
Sesak dan berang,
kau pecah,
pasrah, 
lalu tertunduk menyerah -
"iyyakana'budu wa iyyakanasta'in.
ihdinassiraathal mustaqim."

Monday, February 4, 2013

Untuk basah dalam teduhan, sungguh, aku rindu.

Apa yang ada untuk dikesalkan?
Dari segala yang tersisa, binalah teduhan baru.
Damai yang telah luruh darimu itu,
moga kau kembali menemukannya di sana.

Selepas sekian lama kau jatuh cinta,
mungkin sudah tiba waktu untuk kau bangun cinta.

Saturday, February 2, 2013

Antologi #7 - antara lena dan jaga, juga waktu di antara keduanya.

#1
Perempuan itu ironi. Bukan tidak sering euforia dan melankoli mereka akarnya serupa.

#2
Kasihan tidak pada seorang dia yang terperangkap dalam mimpi-mimpi gilanya dalam lena dan jaga, juga waktu di antara keduanya?

#3
Jujur, aku malu untuk pulang menghadap dengan iman yang rabak.

#4
Boleh tidak kalau anak perantau itu tidak mahu balik menetap di tanah asalnya? Serasa separuh jiwanya sudah bergaul sebati dengan tanah yang pernah asing ini. Bumi kenal Tuhan, bumi kenal diri, apa mungkin sama dengan tanah asal yang dulu menghakis jati diri?

#5
Kau bawak beban berat - semua yang mereka campak buang kau kutip. Kemudian, kau mohon mereka yang terkehadapan untuk menuntun mu. Panjangkah tanganmu 'tuk capai mereka? Pantaskah langkahmu 'tuk berpadu dengan mereka?

#6
Kalau cinta itu adalah teh -- dulu manis, kini sudah tawar rasa. Mahu tidak kau tolong tambahkan gula barang sesudu dua untuk buat teh kembali jadi sesedap rasa? Insya-Allah, akan jadi jariah buatmu sampai diri ini habis nyawa.

#7
Terbebankah jiwa mu jika dikhabarkan engkau akan mati sebulan lagi? Apakah ia akan mati sebelum mati, atau khabar itulah yang menyuburkan tanah yang selama ini kontang?

Tuesday, January 29, 2013

I am not so much a wonderful person.

Numb
and cold
and stiff.

Winter's leaving.
Nonetheless, I am still
frozen inside.

Monday, January 21, 2013

contengan pasca satu januari '13.

bismillahirrahmanirrahim.

assalamualaikum w.b.t. 

contengan pertama untuk tahun 2013. sungguh, saya tidak punya idea untuk menulis sekarang. mengalami writer's block sudah berminggu lamanya. dan akhirnya, saya pujuk diri untuk  mengalah dan menconteng apa juga lintasan-lintasan fikiran. pedulikan apa hasil akhirnya - yang utama orang tahu tanah ini masih berpenghuni, alhamdulillah.

apa khabar dua puluh satu hari tahun baru kalian? dua puluh satu hari saya berlalu sekelip mata. saya masih ingat hari pertama persekolahan 2013 tanggal 7 januari lalu. dan tanpa disedari, waktu sudah menjejak 22 januari. waktu itu sungguh ajaib kan? adakala bergerak sepantas kilat, dan ada ketika merangkak tak mampu dipercepat. ah, yang pasti sungguh sulit mengejar waktu. larinya pantas tanpa peduli apakah manusia mengikuti atau jauh tertinggal di belakang. dan "Demi masa, sesungguhnya manusia berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." (Al-'Asr:1-3) Semoga, (ya, semoga) dua puluh satu hari kita yang berlalu  tidak diperhitung sia-sia olehNya.

em. apa lagi untuk dikisahkan? oh, hari yang terbaik setakat ini pasca 010113. ini:









alhamdulillah, thumma alhamdulillah. Allah memberi peluang untuk kami merasa salji sekali lagi tahun ini. bahkan, lebih lebat dari tahun lepas. mungkin sahaja, kerana Allah tahu ini boleh jadi kali terakhir kami merasi sejuk salju bumi uk. :')

*diam*

saya rasa, that's about it - contengan pasca satu januari 2013 saya. doakan saya mampu memecahkan writer's block ini, agar saya mampu kembali menulis seperti sedia kala. till then, fi amanillah! Y